Bekas kerani didenda RM5,000 perdaya warga emas carum KWSP - Utusan Malaysia

Bekas kerani didenda RM5,000 perdaya warga emas carum KWSP

TAN Fwi See diiringi pegawai dan anggota polis di Mahkamah Majistret Tampin hari ini bagi didakwa atas pertuduhan memperdaya seorang warga emas 10 tahun lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang bekas kerani didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tampin hari ini, atas kesalahan memperdaya seorang wanita warga emas bagi mencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 10 tahun lalu.

Tertuduh, Tan Fwi See, 48, yang kini bekerja sebagai tukang cuci rumah membuat pengakuan bersalah berkenaan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Majistret turut menetapkan 12 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah memperdayakan seorang wanita warga emas untuk mempercayai bahawa tertuduh akan memasukkan wang sebanyak RM20,000 ke dalam akaun KWSP milik wanita itu yang mana tertuduh mengetahui ia tidak benar.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di daerah ini pada bulan September 2013. Oleh demikian tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pada September 2013, tertuduh telah mencadangkan kepada warga emas itu untuk mencarum wang simpanan di dalam KWSP untuk warga emas kerana akan memberikan pulangan faedah yang tinggi selain dari memberi perlindungan insurans ke atas warga emas berkenaan.

Warga emas berkenaan bersetuju dan menyerahkan wang secara tunai kepada tertuduh.

Pada 12 Jun 2020, warga emas itu telah ke Pejabat KWSP di Alor Gajah, Melaka dan memeriksa akaun serta dimaklumkan pegawai bertugas hanya sebanyak RM7,000 sahaja yang telah dimasukkan.

Warga emas berkenaan telah diperdaya dalam urusan caruman KWSP dan mengalami kerugian RM13,000.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh telah memasukkan duit sebanyak RM7,000 ke dalam akaun KWSP milik warga emas berkenaan secara berperingkat tidak selari dengan keterangan tertuduh.

Tertuduh telah memberikan resit palsu kepada warga emas tersebut, serta gagal memberikan penjelasan yang munasabah berkenaan kemasukan wang secara berperingkat ke dalam akaun KWSP warga emas berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya