Bantuan agensi negeri lonjakkan pasaran produk hingga 50 peratus - Utusan Malaysia

Bantuan agensi negeri lonjakkan pasaran produk hingga 50 peratus

NOR Azizah Amri menunjukkan kuih tradisional baulu dan peneram keluaran NAB Food Industries. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Selepas berjaya mengembangkan pasaran kuih tradisional baulu dan peneram termasuk menerjah ke pasaran luar negara, NAB Food Industries kini menyasarkan untuk membuka 20 francais bagi mengembangkan lagi potensi pasaran di seluruh negara.

Pengasasnya, Nor Azizah Amri, 51, berkata, setakat ini sebanyak 14 kios NAB Food Industries beroperasi di Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Kami sasarkan untuk buka lebih banyak francais di Pulau Pinang kerana tempat tinggal saya terletak di sempadan Perak dan Pulau Pinang, jadi ia lebih mudah untuk saya menghantar bahan membuat baulu dan peneram.

“Kami juga sedang mencari tapak atau lokasi yang sesuai untuk membuka kedai, kios atau francais di Ipoh. Sasaran saya sekurang-kurangnya lima outlet akan dibuka di Ipoh,” katanya.

Menurutnya, selain Ipoh, pihaknya juga akan terus memasarkan produk ke peringkat antarabangsa yang ketika ini sudah pun memasuki pasaran Singapura, Thailand dan yang terbaharu Indonesia.

Sementara itu, Nor Azizah berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui pelbagai agensi terma­suk Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) banyak membantu meningkatkan hasil jualan syarikatnya.

Menurutnya, ia termasuk bantuan pinjaman geran yang membolehkan syarikatnya memasarkan produk secara global.

“Malah sehingga kini kerajaan negeri masih terus membantu saya untuk pasarkan produk. Dengan bantuan agensi kerajaan negeri, pembungkusan produk saya lebih menarik dan mudah dipasarkan serta menerima sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.

Katanya, penghasilan syarikat juga melonjak sebanyak 50 peratus setelah dibantu kerajaan negeri.

“Banyak agensi kerajaan negeri yang terlibat membantu menaikkan syarikat saya sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Bantuan kerajaan negeri bertepatan dengan matlamat yang digariskan dalam plan Perak Sejahtera 2030 iaitu untuk melahirkan lebih ramai usahawan kecil dan sederhana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya