Banduan warga Thailand ditahan bersama 160,000 biji pil yaba

Banduan warga Thailand ditahan bersama 160,000 biji pil yaba

MUHAMAD Zaki Harun (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang di rampas semasa sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang banduan warga negara Thailand yang baharu sahaja dibebaskan dari penjara dicekup bersama 160,000 biji pil yaba dalam serbuan di hadapan sebuah rumah, lorong masjid di Kampung Kubang Kacang, di sini, kelmarin.

Rampasan pil kuda bernilai RM1.76 juta itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada pukul 7.45 malam itu hasil maklumat risikan berkait dengan aktiviti tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan dilakukan suspek berusia 41 tahun itu ditahan semasa memegang satu guni berwarna putih.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas guni itu membawa kepada penemuan 17 bungkusan mengandungi 100,000 biji pil yaba.

“Hasil soal siasat ke atas suspek telah membawa pihak polis ke sebuah stor di bahagian belakang rumah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di dalam stor berkenaan telah menemukan 60,000 biji pil yaba,”katanya pada sidang media di IPK Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, siasatan awal mendapati, suspek yang ditahan itu baru sahaja dibebaskan dari penjara di Thailand.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan sindiket pengedaran dadah ini turut dibantu oleh individu lain berdasarkan jumlah rampasan.

“Kita dapati suspek yang ditahan mempunyai dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini dan siasatan lanjut akan terus dijalankan bagi mengenalpasti penglibatan pihak lain dalam urusan penghantaran serta menerima dadah berkenaan,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, suspek direman sehingga 25 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita percaya bekalan ini untuk pasaran tempatan dan luar dari Kelantan. Jika dadah ini terlepas ia boleh digunakan oleh seramai 160,000 orang penagih.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut sedang dijalankan bersama pihak polis di Thailand,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya