PASIR SALAK: Penduduk serta pengunjung berharap resort di Kompleks Sejarah Pasir Salak dekat sini dibaik pulih bagi mengelak kerosakan yang lebih teruk pada bangunan resort berkenaan.
Seorang penduduk, Kharulnizam Muhamad, 44, berkata, jika tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan resort itu yang terdiri daripada resort untuk penginapan, dewan, kolam renang, restoran terapung dan lain-lainnya akan mengalami kerosakan lebih teruk, menyebabkan kos baik pulih akan meningkat.
Menurutnya, sebelum ini ada pihak yang menjaga dan mengambil alih resort tersebut dan ramai pengunjung di resort itu.
Katanya, pelancong datang untuk menikmati keindahan kampung dan melawat tempat-tempat bersejarah di Pasir Salak.
“Selain itu bermacam-macam program diadakan di resort ini dan menjadikan kawasan tersebut rancak dengan aktiviti pelancong.
“Namun keadaan itu sudah lama berlalu, kedatangan pelancong sudah berkurangan menyebabkan resort ini tidak terjaga.
“Saya percaya jika ia dibaik pulih, ramai pelancong yang akan datang apatah lagi kawasan Pasir Salak banyak tempat bersejarah untuk dilawati,” katanya.
Menurutnya, antara kerosakan yang dialami di resort itu ialah kebocoran bumbung dewan, kerosakan pada lantai kayu, dinding dan siling bangunan.
Katanya, kerosakan juga disebabkan tiang kayu dimakan anai-anai, dinding papan yang sudah tercabut, kolam renang yang terbiar, air bertakung dan semak.
Jelasnya, keadaan itu amat merugikan kerana kos membina resort berkenaan sebelum ini sudah tentu melibatkan kos yang tinggi.
“Kami penduduk di Kampung Pasir Salak rasa tidak seronok dan rasa tidak selesa selagi resort ini tidak dibaik pulih.
“Adalah merugikan jika resort yang secantik ini terus terbiar, saya percaya ramai pelancong yang mahu menyewa resort ini jika ia dibaik pulih.
“Jika resort ini dibaik pulih, Kampung Pasir Salak yang sunyi akan kembali rancak dengan pelbagai aktiviti pelancongan seperti dahulu,” katanya.-UTUSAN