PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun digesa meletakkan jawatan serta-merta ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan empat pertuduhan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keputusan hari ini membuktikan bahawa segala dakwaan dan tohmahan jahat terhadap Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah suatu fitnah.
Menurut beliau, pertuduhan itu jelas direka-reka bagi tujuan politik khususnya untuk melemahkan Bersatu dan mempengaruhi sokongan rakyat sebelum pilihan raya di enam negeri diadakan.
“Adalah amat jelas bahawa sejak mula lagi, pertuduhan ini amat cacat dan bermotifkan politik untuk mencemarkan nama baik Muhyiddin dan Bersatu.
“Oleh yang demikian dan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini, Armada Bersatu Malaysia mendesak agar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun meletakkan jawatan serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MEMBEBASKAN
Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin memfailkan notis usul pada 18 April lalu untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat pertuduhan berkenaan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Beliau mendakwa, ia berikutan tiada mana-mana satu pun daripada pertuduhan itu mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.- UTUSAN