PASIR PUTEH: Seorang lelaki yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus di pelabuhan menjadikan jualan ayam goreng RM1 di Kampung Raja Dagang, Semerak di sini sebagai ‘lubuk’ mengumpul pahala.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hariz Mohd. Asmadi, 30, berkata, tawaran itu membuatkan dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat ketika ini susulan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, walaupun ayam goreng itu dijual pada harga RM1 namun dia masih mampu meraih keuntungan.
“Selain mengejar pahala, jualan ayam ini merupakan bentuk perkongsian rezeki saya kepada penduduk setempat.
“Saya akui ramai yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hariz memberitahu, selain ayam dia turut menjual air balang berperisa coklat pekat, teh o beng kaw dan kopi Siam.
Katanya, minuman itu dijual dengan harga RM3 segelas manakala air perisa buah-buahan pada harga RM1.
Hariz berkata, warungnya beroperasi setiap hari bermula pukul 11 pagi dikunjungi ramai pada tengah hari dan petang.-UTUSAN