ART tingkat populasi Harimau Malaya

ART tingkat populasi Harimau Malaya

HARIMAU Malaya kini dilaporkan kurang daripada 150 ekor berdasarkan tinjauan dilakukan di kawasan seluas 44,000 hektar sejak 2016 hingga 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Teknologi Pembiakan Terbantu (ART) akan digunakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membiakkan Harimau Malaya yang semakin pupus.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Perhilitan akan bekerjasama dengan Taman Zoologi Thailand (ZPOT) yang telah menggunakan teknologi tersebut bagi pembiakan haiwan liar.

Katanya, penggunaannya mampu membiakkan Harimau Malaya yang kini dilaporkan kurang daripada 150 ekor berdasarkan tinjauan dilakukan di kawasan seluas 44,000 hektar sejak 2016 hingga 2020.

“Berdasarkan pemerhatian daripada tiga juta gambar Perhilitan mendapati, bilangan Harimau Malaya dikenal pasti kurang daripada 150 ekor di lapan buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Ini sebenarnya satu keadaan yang membimbangkan dan sesuatu perlu dilakukan untuk kita naikkan populasi haiwan ini kerana ia merupakan khazanah negara. Negara pernah merekodkan jumlah Harimau Malaya antara 2,000 hingga 3,000 ekor pada 1950 dan kini hanya tinggal lebih kurang 150 ekor sahaja.

“Justeru, melalui penggunaan ART hasil kerjasama dengan Thailand, kita mensasarkan populasi haiwan ini meningkat daripada 150 ekor kepada 400 ekor dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Bengkel ART Harimau Malaya dan Haiwan Liar di A’ Famosa Resort di sini, hari ini.

ABDUL KADIR Abu Hashim dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar dan Bengkel ART Harimau Malaya dan Haiwan Liar di A’ Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Tambah Abdul Kadir, ART membolehkan kepelbagaian genetik sesuatu spesis dikembangkan supaya sumber genetiknya dapat digunakan bagi pembiakan haiwan terancam pada masa akan datang.

Menurutnya, selain pembiakan Harimau Malaya, teknologi itu juga akan digunakan bagi pembiakan Rusa Sambar yang menjadi makanan utama kepada Harimau Malaysa.

“Seminar yang dihadiri pakar-pakar dalam bidang zoologi dapat dimanfaat bagi mempercepatkan lagi proses haiwan ini bunting dan pembiakan di pusat konservasi di Lanchang, Pahang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN