SEREMBAN: Perdana Menteri dalam ucapannya pada program Ceramah Jelajah Perpaduan Perdana Menteri@DUN Lenggeng di Taman Ampangan di sini malam ini sekali lagi memberikan komitmen kerajaan untuk menoktahkan isu kemiskinan tegar pada tahun ini.
Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi, bagi tujuan tersebut, ia bukan hanya perlu melibatkan kementerian dan agensi kerajaan malahan perlu disokong oleh semua parti-parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Saya kata tahun ini kita mahu pecah rekod, bukan rekod mercu tanda bangunan tertinggi di dunia bukan jambatan megah bukan kubu indah, tidak, saya akan noktahkan kemiskinan di Malaysia. Berapa jumlahnya? 136,000 orang dan majoritinya Melayu, ada kelompok India. Melayu miskin, India miskin kita mesti tolong semua.
“Ahli Parlimen Pas kata tidak mungkin, mana boleh kita buat, saya telah panggil semua jemaah menteri, seluruh jabatan kerajaan, saya panggil semua DO (pegawai daerah), kalau ada seorang (miskin tegar) di daerah kamu Jempol ke Jelebu mesti catat nama dia dan selesaikan.
“Kalau ada senarai dari Wanita UMNO submit (hantar) dan daripada Keadilan bagi terus dan saya bagi ingatan, buat apa jadi Perdana Menteri ada kereta, pesawat kerajaan punya, Rumah Sri Perdana macam Istana tetapi orang miskin tidak ambil tahu,” katanya.
Yang turut hadir pada program itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Lenggeng, Mohd. Asna Amin.
Dalam pada itu, Anwar turut mahu memastikan Negeri Sembilan menang dengan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 kali ini.
“Itu cita-cita saya, kalau mahu maki berbakul pun saya tidak peduli dan untuk itu kita tidak boleh buat seorang, saya perlukan jemaah menteri kita, ada gabungan PH, BN, GPS dan kita mahu kawasan-kawasan ini terutama ‘nogori’ ini menang dengan bergaya.
“Ini lah semangat perpaduan, kita datang kempen tempat PH, tempat BN dan semua calon-calon saya,” katanya.-UTUSAN.