SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan supaya mana-mana pihak tidak menjadikan isu kalimah Allah sebagai bahan politik.
Perdana Menteri menjelaskan, ini kerana keputusan telah diambil supaya isu tersebut dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada bulan ini untuk diperkemaskan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja (MRR) pada bulan Oktober ini.
Anwar menambah, ingatan tersebut turut dizahirkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI kepada beliau baru-baru ini mengenai perkara tersebut.
“Kita akan cuba perkemaskan isu kalimah Allah ini untuk kita bawa ke Majlis Raja-Raja, dan keputusannya jangan jadikan ini sebagai isu politik, ini arahan baginda, jangan jadikan isu kalimah Allah sebagai isu politk, kerana raja-raja akan memperkemaskan atas cadangan kerajaan Persekutuan.
“Apa Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata? masih guna isu kalimah Allah, mereka ini soal lawan raja terus terang,” katanya sewaktu berucap pada Ceramah Perpaduan PMX@Paroi di Taman Tuanku Jaafar di sini malam ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Norwani Ahmat.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu ceramah di Kapar, Klang, Selangor pada Ahad lalu mendakwa tindak tanduk kerajaan menangani isu kalimah Allah ketika ini menjelaskan ia diterajui oleh bukan Islam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan itu menyifatkan Muhyiddin sebagai tidak menghormati nasihat Majlis Raja-Raja dan tidak menghiraukan larangan pihak berkuasa supaya semua ahli politik tidak menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu, dengan sokongan yang diberikan rakyat kepada kerajaan menerusi PRN ia akan turut memperkuatkan Kerajaan Perpaduan termasuk di Negeri Sembilan
“Dengan kemenangan akan perkuatkan Kerajaan Perpaduan, Negeri Sembilan dan rekod Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar antara yang baik dan kita harus berikan sokongan padu kepada beliau,” katanya.-UTUSAN.