SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berharap peratusan keluar mengundi di Negeri Sembilan melebihi 70 peratus pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
“Saya berharap peratusan mengundi akan melebihi 70 peratus di Negeri Sembilan.
“Sebab pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu peratusan keluar mengundi kita (Negeri Sembilan) mencecah 74 ke 75 peratus,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Hua di sini hari ini.
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi di Negeri Sembilan setakat pukul 2 petang tadi adalah sebanyak 49 peratus.
Terdahulu, Siew Fook yang juga merupakan calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah tiba di pusat mengundi tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan selesai mengundi 10 minit kemudian.
Pusat mengundi berkenaan merupakan salah satu daripada sembilan buah pusat mengundi yang dibuka untuk DUN Mambau.–UTUSAN.