Anggota Rela meninggal dunia mengejut semasa perbarisan Hari Kebangsaan - Utusan Malaysia

Anggota Rela meninggal dunia mengejut semasa perbarisan Hari Kebangsaan

TANGKAP layar video tular seorang anggota Rela yang terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai perbarisan lintas hormat sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai perbarisan lintas hormat sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini pagi tadi.

 Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati anggota Rela lelaki berusia 53 tahun itu telah terjatuh dan tidak sedarkan diri semasa perbarisan pada pukul 10 pagi.

“Pihak polis telah menerima maklumat berhubung kematian lelaki tersebut di Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini pada pukul 12.25 tengah hari.

“Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, telah dikejarkan ke HTJ dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital lebih kurang pukul 10.30 pagi.

Terdahulu sebuah video berdurasi 32 saat memaparkan seorang anggota Rela telah terjatuh ketika perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Seremban sebelum dibantu beberapa rakannya telah tular di media sosial Facebook dan WhatsApp.

Arwah yang juga merupakan Ketua Kontinjen Rela Negeri Sembilan bagi Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2023 telah rebah semasa berbaris melintasi pentas utama.

Menurut Arifai, proses bedah siasat telah dijalankan dan pihak hospital mengesahkan kematian mangsa disebabkan masalah jantung Coronary Artery Occlusion dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tambah Arifai, sesiapa yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7707282 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 06-6033222.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya