KOTA BHARU: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Tok Johol, Kampung Badak di sini sebentar tadi apabila dua anak kepada mangsa yang maut dihempap sebatang pokok di Kok Lanas semalam menangis memanggil umi dan baba semasa urusan pengkebumian kedua-dua orang tua mereka.
Nik Adelia Zulaikha Nik Mohd. Zulmi, 11 dan adiknya, Nik Adam Zarif, 9, yang selamat semasa nahas itu ditenangkan oleh ibu saudaranya ketika melihat jenazah bapa, Nik Mohd. Zulmi Ramli, 44, bersama ibu, Nik Amirah Ab. Rahman, 40, dan adik bongsu mereka, Nik Aishah Azzahra, 5, masuk ke liang lahad.
Ibu mangsa, Amnah Ismail, 64, berkata, dia bersyukur kerana upacara pengebumian anak perempuannya, menantu dan cucu berjalan mengikut perancangan.
Menurutnya, dia dimaklumkan oleh anak-anaknya yang lain bahawa urusan bedah siasat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian turut berjalan lancar tanpa sebarang masalah sebelum dibawa balik ke rumah untuk urusan solat jenazah.
“Alhamdulillah, jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan dalam satu kubur kira-kira pukul 6.30 petang tadi. Saya tidak dapat menahan sebak apabila kedua-dua cucu saya menangis sambil bertanya mengenai umi dan babanya.
“Kedua-duanya tidak putus-putus bertanya mengenai keadaan orang tua mereka sejak daripada pagi tadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Tok Johol, Kampung Badak, Kok Lanas, di sini hari ini.
Amnah memberitahu, dia akan menjaga kedua-dua cucunya itu dan mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 2 di sini selepas ini.
Katanya, dia akan sentiasa menemani Nik Adelia Zulaikha dan Nik Adam Zarif untuk menenangkan kedua-dua beradik itu yang amat sedih dengan kejadian itu.
“Nik Adelia Zulaikha sangat rapat dan manja dengan ibunya. Itu yang membuat dia masih belum dapat menerima kenyataan bahawa telah kehilangan ibu bapanya,” ujarnya.-UTUSAN