GOMBAK: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tetap mahu meneruskan saman terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor susulan kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
Menurut beliau, pihaknya melantik peguam yang akan meneliti perkara tersebut dan surat saman juga akan dihantar kepada Sanusi dalam masa terdekat.
“Mutakhir ini, kita lihat semakin ramai yang galak untuk menabur fitnah dan kitar semula cerita atau dakwaan palsu yang mana sebahagiannya dijawab dalam Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) sebelum ini.
“Sebagai contoh, isu SMG dijawab dengan berulang kali dalam rekod oleh Tuan Ir. Izham Hashim di DUN berkenaan, proses dan sebagainya. Oleh sebab itu, saya akan kemukakan surat saman dan tuntutan terhadap Sajusi termasuk mereka yang terlibat menabur fitnah.
“Insya-Allah, peguam saya sedang teliti dan paling lewat, Khamis ini mereka akan terima surat saman itu. Harapnya mereka tak larilah bila terima surat saman itu,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat di sini, hari ini.
Terdahulu, saman terhadap Menteri Besar Kedah itu dibuat oleh Amirudin selepas calon Dewan DUN N.24 Jeneri itu dikatakan memfitnahnya menyerahkan tanah seluas 243 hektar di Selangor kepada Vincent Tan.
Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan Amirudin dan Vincent Tan terlibat dalam perniagaan yang korup dan memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.
Ia termasuk tuduhan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bakal mengalami kerugian sehingga RM180 juta jika Vincent Tan diberikan projek sungai bernilai RM10 bilion.
Beliau menegaskan, segala tuduhan yang dilemparkan oleh Sanusi adalah tidak berasas termasuk jelas kelihatan terdesak untuk meraih undi di saat-saat akhir.
“Sama ada isu Hutan Bukit Lagong dan 600 ekar tanah percuma, bagi saya, paling tiada asas. Semalam, timbul pula isu serahan elaun, sedangkan satu sen pun tidak diterima.
“Paling besar pun dapat karipap dalam mesyuarat, itu pun mungkin mereka anggap sebagai rasuah, agaknya,” ujarnya.-UTUSAN