KUANTAN: Bahasa Mandarin dan Tamil perlu diajar di sekolah-sekolah kebangsaan bagi mewujudkan kebersamaan mempelajari bahasa ibunda kaum lain dalam satu kelas sekali gus memberikan suasana harmoni dalam kalangan murid.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, selain pembelajaran wajib bahasa Melayu dan Inggeris, murid Melayu mesti diberikan peluang serta digalakkan mempelajari bahasa Mandarin dan Tamil manakala murid Cina belajar bahasa Tamil dan sebaliknya.
Beliau berkata, tiada peperiksaan sebaliknya ia dilaksanakan secara elektif bagi murid membuat pilihan beserta opsyen bahasa asing lain iaitu Arab, Perancis dan Sepanyol.
“Memperkenalkan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah rendah boleh memberi ruang kepada pelbagai etnik di Malaysia mempelajari budaya dan bahasa masyarakat Cina dan India.
“Pada akhir persekolahan kelak kesemua murid di Malaysia mampu sekurang-kurangnya memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil serta bahasa Arab, Perancis dan Sepanyol.
“Ia juga selaras dengan konsep kerajaan perpaduan Malaysia Madani ketika ini supaya tiada jurang antara kaum dan saling hidup harmoni, bersatu padu antara satu sama lain,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mahu masyarakat bukan Islam memahami kepentingan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.
Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata, perkara itu berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, khususnya pada masa depan.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, apa dinyatakan Perdana Menteri tentang Hadis 40 Imam Nawawi itu baik dan disokong.
“Cuma kita mencadangkan juga supaya bahasa Mandarin dan Tamil serta opsyen bahasa Arab, Perancis dan Sepanyol diajar di sekolah-sekolah kebangsaaan.
“Keterbukaan kerajaan Malaysia dalam hal ini akan membantu memperkaya penguasaan bahasa murid Melayu untuk turut menguasai bahasa Mandarin dan Tamil serta bahasa Arab, Perancis dan Sepanyol.
“Murid yang dapat menguasai sekurang-kurangnya lima bahasa sudah pasti akan memberi nilai tambah kepada organisasi dan membantu produktiviti,” katanya. – UTUSAN