Ahmad Zahid yakin gelombang biru merah di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid yakin gelombang biru merah di Negeri Sembilan

ANWAR Ibrahim hadir pada program Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Tapak Letak Kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Gelombang biru dan merah bukan lagi satu kejutan di Negeri Sembilan sebaliknya akan bercantum membentuk sebuah kerajaan yang stabil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak dinafikan beliau sendiri sebelum ini alergik dengan warna merah (Pakatan Harapan), tetapi kini menurutnya lawan telah menjadi kawan.

“Ada kawan-kawan kata, Ahmad Zahid, dulu saya alergi dengan warna biru (BN), aku (saya) pun alergi dengan warna merah (PH) itu dulu.

“Dulu lawan tetap lawan, tetapi sekarang lawan sudah jadi kawan, buat apa berlawan sekarang kita perlu perkukuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya pada program Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Tapak Letak Kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam ini.

Yang hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kalau BN dan PH terus beremosi sudah tentu kedua-dua parti tidak akan berkongsi pentas dalam politik, sebaliknya kini telah berjuang bersama untuk kestabilan politik dan ekonomi negara.

AHMAD Zahid sewaktu berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Tapak Letak Kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Beliau berkata, perubahan polemik politik itu bukan sahaja dapat dilihat di Negeri Sembilan, malah gelombang biru merah di Kelantan memberikan satu kejutan yang mana program ceramah di negeri itu menerima kehadiran luar biasa lebih 10,000 orang.

“Ini berbanding Terengganu dan Kedah, Terengganu kadang kita kalah kemudian menang balik, tetapi firasat saya gelombang di Terengganu juga memihak pada kita, saya juga telah ke Langkawi, Kedah tengah hari tadi tidak ada sesuatu yang mustahil,” katanya.

Beliau turut mengingatkan dirinya bahawa tidak ada apa yang akan mendahului hukum Allah dan kuasa rakyat adalah kuasa keramat.

“Tidak mustahil Kelantan akan berada di bawah Kerajaan Perpaduan selepas 33 tahun, tidak mustahil Terengganu di bawah kita selepas satu penggal dan Kedah bersama kita selepas dua penggal,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, pada hari pengundian 12 Ogos nanti akan menyaksikan rakyat menyedari bahawa dalam tempoh lapan bulan Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan tindakan yang sangat menjiwai perasaan rakyat.

“Mana ada seorang Perdana Menteri yang memikirkan soal tandas di sekolah seluruh Malaysia, Perdana Menteri lazimnya hanya menyantuni soal besar, antarabangsa dan global. 

“Soal tandas pun diambil peduli oleh beliau apatah lagi klinik-klinik daif. Saya yakin tahun ini klinik-klinik daif di Negeri Sembilan akan diluluskan untuk dinaik taraf tahun depan, 100 peratus diperbaiki,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya