PORT DICKSON: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan timbulnya suasana tidak harmoni di antara parti pimpinannya itu dengan MIC.
Ia susulan pertemuan yang akan diadakan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepemimpinan parti MIC.
“Sebagai Perdana Menteri sudah tentu sekali beliau menyantuni 19 parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan. Ini bukan pertama kali Perdana Menteri bertemu dengan Presiden MIC, timbalan Presiden.
“Mungkin kepemimpinan tertinggi akan bertemu dengan Perdana Menteri tentunya Perdana Menteri cukup menyantuni pertemuan-pertemuan itu dan saya yakin ini meruaka satu optik yang baik dan mahu diwujudkan di antara MIC dan Perdana Menteri.
“Perkara itu tidak timbul langsung (tidak harmoni), kami mengadakan mesyuarat war room, wakil MCA dan MIC ada dan mereka teah menyatakan bahawa mereka tekah arahkan untuk gerakkan di seluruh jentera di keenam-enam negeri itu dan jentera MCA dan MIC akan mebantu calon-calon kita di kesemua enam negeri,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Program Bersama Calon Bagan Pinang di sini petang tadi.
Yang hadir sama, calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, Mohd. Najib Mohd. Isa dan Calon BN di DUN Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli.
Perdana Menteri sewaktu berucap dalam program Ceramah Umum PMX di Rompin, Jeram Padang, Jempol malam semalam memberitahu, akan mengadakan pertemuan dengan kesemua kepemimpinan dari parti MIC, termasuk Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran.
“Saya bercakap dengan Presiden MIC, mahu jumpa sekejap semua ketua-ketua MIC seluruh negara supaya mereka jangan salah faham, kita kena kerja sebagai satu pasukan,” kata Anwar.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, dakwaan kononnya terdapat 300,000 penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan memberikan sokongan Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini hanyalah satu propaganda pihak pembangkang.
Beliau menambah, perkara itu juga dinafikan oleh anak kepada Datuk Seri Najib iaitu Nooryana Najwa baru-baru ini.
“Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengiktiraf kumpulan itu malah beliau memberi dukungan kuat BN dan PH dan pada Kerajaan Perpaduan. Ini adalah propaganda pihak sana, Datuk Seri Najib bekas pemimpin kita yang rapat dengan UMNO dan BN,” katanya.-UTUSAN.