KOTA BHARU: Bekas Ketua Pemuda UMNO Ketereh Afiq Amani Annuar yang keluar daripada parti itu petang tadi sudah mula menghadiri ceramah Pas.
Afiq Amani yang merupakan anak kepada Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa dilihat hadir ke cermah Pas di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dengan memakai baju batik dan bersongkok.
Selepas itu Afiq Amani dijemput naik ke pentas dan kemudian disarungkan vest bewarna hijau yang tertera dengan logo Pas.
Selain Annuar Musa, turut hadir termasuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Utusan Online petang tadi melaporkan, Afiq Amani Annuar menjadi antara pemimpin muda UMNO yang keluar daripada parti itu hari ini.
Pengumuman itu dibuat bekas Ketua UMNO Bahgaian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang akhbar di rumahnya di Bukit Marak di sini
Selain Afiq Amani, Pengurusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh Kamarudin Said dan Ketua Wanita UMNO Sabariah Hamzah turut diumum keluar dari parti itu.
Semasa ditemui pemberita Afiq Amani berkata, keputusan itu dibuat berpandukan kepada keadaan UMNO kini yang dilihat sudah lari daripada landasan perjuangan sebenar.
Menurutnya, perkara itu jelas dilihat selepas UMNO mengambil keputusan untuk bersama di dalam Kerajaan Perpaduan sehingga mengenepikan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MIC serta MCA.-UTUSAN