KANGAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini sedikit hangat apabila dalam kalangan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) bangkit bagi mempersoalkan pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan mengenai ketelusan kehadiran ‘orang politik’ ke sekolah.
Persoalan itu dibangkitkan oleh Wan Zikri Afthar Ishak (PN-Tambun Tulang) sewaktu meminta pencelahan ketika Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan menjawab pertanyaan lisan dibangkitkan oleh Datin Marzita Mansor (PN-Sena).
Menerusi pertanyaan lisan itu, Marzita meminta kerajaan negeri memberi pencerahan berhubung sama ada pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan yang berkuatkuasa ketika ini menghalang mana-mana wakil rakyat untuk bersama dalam program yang dianjurkan pihak sekolah.
Wan Zikri sewaktu mempersoalkan perkara itu berkata, langkah itu dilihat tidak adil memandangkan ada di antara sekolah yang memohon sumbangan daripada wakil rakyat bagi pelaksanaan sesuatu aktiviti atau acara namun mereka tidak dibenarkan hadir untuk bersama-sama terlibat dalam program berkenaan.
“Malah saya juga pelik ada pula sekolah yang benarkan Wanita UMNO untuk masuk mengadakan program, jadi sekiranya ini betul, pekeliling ini juga dilihat tidak telus kepada semua wakil rakyat,” katanya.
Selain Wan Zikri, isu tersebut turut mendapat perhatian beberapa wakil rakyat lain seperti Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis),
Asrul Aimran Abd Jalil (PN-Kayang) dan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan).
Abu Bakar juga turut mendesak Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman melihat perkara ini memandangkan gambar Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli juga didakwa tidak dibenarkan digantung di sekolah.
Sementara itu, Ay Ling berkata, pihaknya berharap agar isu tersebut tidak seharusnya dipolitikkan memandangkan beliau sendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili kerajaan pusat di Perlis juga tidak dibenarkan masuk ke sekolah sesuka hati bagi menjalankan program.
“Saya sendiri tidak dijemput juga jadi seharusnya perkara ini tidak dipolitikkan kerana apa yang penting adalah prestasi yang harus diberikan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Azmir berkata, Kementerian Pendidikan telah menetapkan prosedur bagi permohonan kebenaran menerusi Surat Pekeliling Iktisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 4 Tahun 2023 bertarikh 21 Februari lalu.
Katanya, garis panduan itu menyatakan bahawa orang kenamaan dan ahli politik perlu memohon kebenaran sekurang-kurangnya 30 hari sebelum lawatan atau program dilaksanakan di mana-mana premis institusi pendidikan.
“Saya juga mengambil maklum tentang isu dibangkitkan oleh setiap ahli yang berhormat dan kita akan jumpa pihak berkaitan bagi menyelaraskan perkara ini dengan baik agar ia dapat memberi manfaat buat anak-anak di sekolah.
“Kita perlu ketepikan isu politik dan bergerak untuk bangunkan anak-anak di sekolah,” katanya.-UTUSAN