KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ‘tunggal’ Pakatan Harapan (PH) di Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim tidak tertekan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat selepas berjaya merampas kerusi itu daripada Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
Dr. Hafidzah berkata, beliau tekad memberikan khidmat terbaik sebagai ‘balas budi’ kepada rakyat di kawasan itu atas sokongan sehingga dipilih sebagai ADUN.
“Insya-Allah semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti, saya bersama rakan gabungan dari ADUN Barisan Nasional (BN) Galas (Mohd. Syahbuddin Hasyim) akan membawa suara rakyat dengan sebaik mungkin bagi memastikan kerajaan negeri dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemerintah dengan baik.
“Pada masa sama, kami akan turut membawa program-program Kerajaan Perpaduan untuk memberi ‘isyarat’ Kelantan tidak pernah di anak tirikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ‘walkabout’ di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) Kelantan itu memberitahu, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan pelbagai peruntukan kepada Kelantan melibatkan projek tebatan banjir, peruntukan untuk selesaikan masalah air, membantu orang miskin dan sebagainya.
Katanya, komitmen itu memperlihatkan tiada amalan ‘pilih kasih’ dan anak tiri yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.
Mengulas mengenai isu di Pasar Siti Khadijah, Dr. Hafidzah berkata, beliau akan membawa semua permasalahan yang dihadapi oleh peniaga seperti infrastruktur untuk dibangkitkan semasa sidang DUN nanti.
Katanya, Pasar Siti Khadijah merupakan mercu tanda di negeri ini namun sayang apabila tidak ada banyak kemudahan yang boleh menarik lebih ramai orang untuk berkunjung ke kawasan berkenaan sekali gus merangsang perkembangan ekonomi di situ.
Pada PRN itu Dr. Hafidzah menang dengan majoriti tipis 202 untuk menewaskan calon Pas Datuk Zamri Ismail, Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Tan Boon Kian.
Dr. Hafidzah memperoleh 9,691 undi sementara Zamri (9,489 undi), Izat Bukhary dan Boon Kian masing-masing 209 undi.-UTUSAN