GENTING HIGHLANDS: Kesatuan Koperasi ASEAN (ACO) komited meningkatkan daya saing pasaran perniagaan produk dan perkhidmatan koperasi sebagai blok ekonomi terbesar dunia selepas China, India dan Amerika sehingga ke negara kepulauan pasifik.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ACO akan memanfaatkan kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dengan rakan sekutunya untuk memasarkan potensi produk koperasi berasaskan perkhidmatan ke seluruh negara ASEAN sekali gus memberikan faedah kepada lebih 670 juta penduduk di rantau terbabit.
Katanya, produk dan perkhidmatan koperasi di Malaysia serta negara serantau berpotensi besar untuk dipasarkan kerana kepelbagaian pada produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak dan permintaan pengguna di negara kepulauan pasifik seperti di Vanuatu, Tongga, Fiji dan Samoa.
“Melalui hubungan dengan negara kepulauan Pasifik sejak 2014, terdapat permintaan yang tinggi terhadap produk dan perkhidmatan koperasi kita di sana.
“Namun, disebabkan sistem orang tengah dalam aktiviti perdagangan, harga barangan berkenaan menjadi lebih tinggi dari pasaran biasa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama perwakilan koperasi ASEAN di Genting Highlands di sini semalam.
Sehingga kini, terdapat 300,000 buah koperasi di negara ASEAN dengan lebih 65 juta ahli individu dan lebih tiga juta peluang perniagaan dijana oleh sektor koperasi di rantau ini.
Pada masa sama, Koperasi Ikatan Koperasi Antarabangsa-Rantau Asia Pasifik (ICA-AP) dan ACO sepakat laksana kerjasama dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim di peringkat global bagi memenuhi agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030) seperti yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Abdul Fattah Abdullah yang juga Naib Presiden ICA-AP berkata, kesatuan itu menyokong penuh pelaksanaan dasar-dasar iklim dan pembangunan lestari di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa dengan bertindak sebagai pemudahcara antara koperasi, kerajaan, pertubuhan masyarakat dan pihak berkepentingan.
“Dalam memastikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ini dapat dilaksanakan menjelang 2030, ICA-AP dan ACO bekerjasama dengan 307 koperasi anggota di 107 buah negara bagi menjadikan gerakan koperasi sebagai sebuah gerakan yang Lestari,” katanya. – UTUSAN