JOHOR BAHRU: Sekurang-kurangnya 24 murid, dua guru serta dua pekerja kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, dekat sini mengalami muntah dan pening kerana disyaki terhidu bau pencemaran bahan kini dalam kejadian petang semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd. Salleh Kvp Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.13 petang.
Menurutnya, sebuah jentera EMRS dari BBP Johor Jaya turut dibantu satu jentera Hazmat dari BBP Larkin dengan kekuatan seramai 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat mangsa mengalami pening-pening dan muntah.
“PKO bertindak membuat ‘size up’ bagi mencari punca bau pencemaran tersebut. Kesemua murid dan guru telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Salleh berkata, PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama-sama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.
Pukul 8 malam pasukan HAZMAT telah membuat kerja-kerja pengesanan di dua lokasi berbeza menggunakan gasmet.
“Lokasi pertama di tapak kilang haram memproses minyak sawit terpakai dan lokasi kedua di Ladang Orkid. Hasil bacaan yang diterima di kedua-lokasi adalah normal,” katanya.
Pada pukul 12 tengah hari semalam, pasukan HAZMAT telah membuat pengesanan muktamad dengan menggunakan sigis 2 (long range detector), gasmet, rad dan 4gas meter di beberapa sektor yang ditetapkan.
Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah membantu membuat saringan bagi penduduk yang mempunyai simptom bagi menentukan keluasan sektor yang akan dibuat pengesanan.
Pengesanan rad menunjukkan tiada penemuan bahan berbahaya, namun pengesanan menggunakan sigis 2 dan gasmet masih dijalankan dengan fokus utama melibatkan keluasan radius lima kilometer di sekitar sekolah memandangkan punca bahan masih belum ditemukan.
Pada pukul lebih kurang 6 petang, setelah membuat penilaian di lokasi terdapat peningkatan bacaan methyl mercaptan mendapati berlaku aktiviti pembakaran tangki ibc yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke laluan tali air ke sungai berhampiran.
Hasil penemuan itu, operasi seterusnya diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor untuk tindakan lanjut. – UTUSAN