23 wanita warga asing tidak mengaku ambil dadah - Utusan Malaysia

23 wanita warga asing tidak mengaku ambil dadah

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 23 wanita dan empat lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine minggu lalu. 

 Kesemua tertuduh ditahan ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di bandar ini yang mana dalam serbuan itu seramai 14 anggota polis dan dua Timbalan Pendakwa Raya turut ditahan selepas disyaki positif dadah.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang terdiri daripada warga China, Thailand dan Vietnam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di dua kamar mahkamah berasingan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali dan Nurul Saqinah Rosli. 

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh disyaki menggunakan dadah berbahaya jenis methaphetamine iaitu sejenis dadah yang ditetapkan di Bahagian III dan IV dari jadual pertama. 

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9.45 pagi di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad, Bandar Seremban di sini pada 19 Ogos lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama. 

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. 

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 terhadap 13 tertuduh dan 14 lagi dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia. 

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan semua pasport tertuduh disimpan oleh pihak mahkamah dan kes akan disebut semula pada 25 Oktober depan bagi keputusan patologi serta kehadiran penterjemah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M.Pusppa dan Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala semua tertuduh diwakili Peguam Lim Kim Fook.

Sebelum ini media melaporkan, seorang pegawai kanan dan 13 anggota polis serta masing-masing seorang Timbalan Pendakwa Raya dan seorang Pendaftar Mahkamah ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Seremban.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak JIPS Bukit Aman turut melakukan tangkapan terhadap 19 wanita warga Vietnam, 17 wanita warga China, sembilan wanita warga Thailand, tiga wanita warga Indonesia serta tiga wanita tempatan yang turut didapati positif dadah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya