1,000 rumah setinggan dipindah, langkah atasi pencemaran Sg. Skudai - Utusan Malaysia

1,000 rumah setinggan dipindah, langkah atasi pencemaran Sg. Skudai

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (hadapan, kiri} an Onn Hafiz (dua kanan) meredah sungai untuk mengutip sampah pada Program Pembersihan Sungai Skudai di Taman Impian Emas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan memindahkan lebih 1,000 kediaman setinggan yang dikesan di sepanjang 52 kilometer jajaran Sungai Skudai, di sini bagi memastikan pencemaran sungai itu dapat diatasi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, penempatan setinggan itu dikenal pasti sebagai salah satu punca Sungai Skudai teruk tercemar hingga kini walaupun kerja pembersihan sentiasa dilakukan.

“Sikap penduduk di kawasan setinggan yang kerap membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam sungai berkenaan menjadi punca Sungai Skudai ini masih teruk tercemar.

“Sehubungan itu, Menteri Besar telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai yang dipengerusikan saya dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar.

“Peranan jawatankuasa bertindak ini adalah menyusun semula penempatan setinggan di jajaran sungai itu dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bagi menyediakan perumahan mampu milik,” katanya selepas menyertai program pembersihan Sungai Skudai di Taman Impian Emas, di sini.

Program tersebut turut disertai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.

Mohd. Jafni berkata, lebih 1,000 rumah setinggan dikesan di sepanjang jajaran Sungai Skudai dari Hulu Sedenak di Kulai sehingga ke bandar raya ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Bertindak RKK Sungai Skudai akan bermesyuarat setiap bulan bagi mencari langkah terbaik untuk mencapai sasaran supaya pencemaran sungai itu dapat diatasi dalam tempoh lima tahun ini.

“Semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj) memainkan peranan penting bagi memastikan Sungai Skudai tidak lagi tercemar.

“Selain itu, jawatankuasa bertindak ini juga akan memastikan penguatkuasaan lebih tegas bagi mengekang pembuangan sampah, pemantauan tapak pembuangan sampah selain pengindahan kawasan sungai serta landskap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya