KUALA PILAH: Seramai 10 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini.
Baginda berkenan menyempurnakan Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan yang diadakan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini.
Pada istiadat itu, ADUN Pertang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilantik sebagai Exco Kanan.
Turut dilantik sebagai Exco ialah Teo Kok Seong (Bahau); Datuk Ismail Lasim (Senaling) dan J. Arul Kumar (Nilai) Mustapha Nagoor (Palong); S. Veerapan (Repah) dan Datuk Mohd. Faizal Ramli (Linggi).
Buat pertama kali, tiga orang ADUN wanita turut berada dalam senarai Exco, mereka ialah Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang); Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim (Pilah) dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan).
Menerusi pengumuman pelantikan ini, ia menepati jangkaan pembahagian kuota bagi parti dalam Kerajaan Perpaduan yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.
Pembahagian tersebut melibatkan empat jawatan untuk Barisan Nasional (BN)/UMNO, empat untuk DAP manakala dua jawatan Exco untuk PKR.
PRN lalu menyaksikan daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di negeri ini, Pakatan Harapan (PH) menang di 17 kerusi manakala BN menang di 14 buah kerusi.
Ia sekali gus gabungan kerjasama kedua-dua parti itu menang di 31 buah kerusi dan seterusnya membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
Mengikut sistem satu parti, daripada jumlah 31 kerusi DUN tersebut, UMNO memiliki jumlah kerusi terbesar iaitu sebanyak 14 diikuti DAP yang menang di 11 buah kerusi manakala lima buah kerusi dimenangi oleh PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) hanya mempunyai seorang ADUN.
Sementara itu, ADUN Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun yang telah mengangkat jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 14 Ogos lalu memberitahu, portfolio bagi setiap Exco tersebut hanya akan diputuskan pada petang ini selepas mesyuarat Exco buat kali pertama diadakan.
“Saya akan mempengerusikannya dan pastinya kami akan menyusun setiap portfolio mengikut senioriti dan juga mengikut kemampuan dan kebolehan yang telah dipilih. Ia belum dimuktamadkan, hanya selepas mesyuarat Exco dan disahkan oleh Exco terbabit.
“Secara keseluruhan saya melihat barisan Exco kali ini amat baik, ada orang lama dan baharu juga ada daripada kerajaan pentadbiran (penggal lalu), ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan mampu melakukan yang terbaik,” tambahnya ketika ditemui pemberita selepas majlis istiadat berkenaan.
Bagi Jalaluddin pula, beliau berpuas hati dengan jumlah pembahagian Exco tersebut setelah perbincangan diadakan di antara PH dan BN sebelum ini.
“Kami telah mencapai keputusan secara kolektif untuk meletakkan kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan ini sebagai keutamaan. Pelbagai aspek diambil kira maka kami bersetuju pecahan Exco tersebut.
“Ini fasa kedua selepas kita melalui PRN lalu yang mana kerjasama antara PH dan BN telah nampak kebersamaan sehingga mencipta kejayaan sehingga boleh dapat dua pertiga.
“Bermulanya fasa kedua ini, kerjasama antara BN dan PH harus diperkukuhkan, tiada lagi pasukan BN atau PH yang ada hanya pasukan Kerajaan Perpaduan bagi memacu pembangunan di Negeri Sembilan dengan lebih baik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jelebu.-UTUSAN.