Zalim, sekat peruntukan Ahli Parlimen pembangkang - Wan Ahmad Fayhsal

Zalim, sekat peruntukan Ahli Parlimen pembangkang – Wan Ahmad Fayhsal

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan Kerajaan Perpaduan menyekat peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sebagai tindakan zalim kerana ia melibatkan soal kepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, disebabkan tindakan itu, dia dan rakan-rakan lain terpaksa menggunakan wang simpanan serta gaji sendiri untuk memberi sumbangan kepada rakyat yang memerlukan selain menanggung kos ‘overhead’ di pusat khidmat.

“Boleh dikatakan semua ahli parlimen pembangkang terkesan apabila tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan sejak lapan bulan pemerintahan mereka.

“Paling teruk terkesan adalah rakyat yang merupakan pengundi-pengundi Melayu. Kenapa nak menzalimi pengundi-pengundi kami?,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Pentas Alternatif Rakyat sempena siri Ceramah Mega Ppakat Pertahan: Pas Pilihanku di Dataran Kijang, Kedai Buluh, di sini malam tadi.

Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, kerajaan persekutuan sepatutnya menyalurkan sumbangan itu secara terus kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Kalau tak mahu beri terus kepada kami pun salurkanlah kepada agensi seperti pejabat-pejabat daerah supaya apa-apa masalah melibatkan rakyat dalam kawasan parlimen kami boleh dirujuk kepada pegawai daerah dan akaun itu kita audit bersama.

“Isunya sekarang ini bukan kami tetapi rakyat. Kami tetap ada gaji dan elaun. Jadi penilaian kami terhadap kerajaan sekarang ini adalah… janji dalam manifesto mereka sendiri pun tidak ditunaikan, apatah lagi perkara lain,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary turut mempersoalkan perkara tersebut.

“Kami ingin letak tanda tanya. ke mana perginya peruntukan mencecah tiga atau empat juga ringgit itu. Siapa yang menguruskannya atau kepada siapa disalurkan peruntukan itu?

“Adakah ini gambaran kepada tatakelola baik. Ini wewenang siapa… siapa di belakangnya… ketua bahagian mana? Kalau nak basmi ketirisan dan miskin tegar, ikutlah cara betul dan bukan tanpa hala tuju,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN