Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan dadah

Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan dadah

YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman layak dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan dadah meskipun laporan psikiatri yang dikeluarkan oleh Hospital Bahagia mengesahkan artis itu berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian yang didakwa dilakukannya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin ketika memaklumkan perkembangan pemeriksaan psikiatri penyanyi itu berkata, keadaan mental tertuduh bertambah baik dan layak dibicarakan serta mampu membela diri atas pertuduhan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan itu turut menyimpulkan Muhammad Yasin mengalami bipolar disorder, (keceleruan efektif) dan Hyperthyroidism.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah memberikan satu tarikh sebutan sebelum perbicaraan diteruskan.

Mendengar perkara itu, peguam Ariff Azami Hussein mewakili tertuduh berkata, beliau percaya perbicaraan boleh diteruskan walaupun laporan psikiatri menunjukkan anak guamnya tidak waras ketika kejadian didakwa berlaku.

Ujarnya, perbicaraan secara formal mengikut Bab 33 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) boleh dilakukan supaya akhirnya satu perintah di bawah Seksyen 347 CCPC iaitui penghakiman pembebasan atas alasan gangguan mental dapat dikeluarkan oleh mahkamah.

“Perintah akhir di bawah Seksyen 348 CPC yang mana pesakit dihantar semula untuk diubati hingga diperakui sihat oleh lembaga perubatan,” katanya dan memohon tarikh perbicaraan singkat.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad kemudian menetapkan 9 Ogos ini bagi sebutan kes serta 28 dan 29 Ogos ini bagi perbicaraan.

Semasa prosiding, Yasin yang mengenakan T-Shirt hitam kelihatan berisi yang mana keadaan fizikalnya berbeza dengan prosiding terdahulu.

Penyanyi itu menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak, sejak dua bulan lalu.

Pada 8 Mei lalu, mahkamah memerintahkan Muhammad Yasin, 48, dirujuk ke hospital berkenaan selepas membenarkan permohonan peguamnya mengikut Seksyen 342 CPC.

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pembelaan memaklumkan, terdapat asas yang kuat agar kesihatan mental Muhammad Yasin diperiksa oleh pakar psikiatri.

Tambahnya, pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada tertuduh layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.

Pihak pembelaan turut mengemukakan lima laporan perubatan yang antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Muhammad Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

Jelas Ariff Azami, laporan-laporan itu juga menunjukkan Muhammad Yasin pernah diserang simptom yang boleh membahayakan dirinya.

Ujar peguam itu, laporan yang dikeluarkan oleh University Malaya Specialist Centre (UMSC) mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Muhammad Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa.

Pada 15 Mac lalu, Muhammad Yasin gagal dalam permohonan representasi ketiganya untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi.

Ia berikutan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan yang dikemukakan Muhammad Yasin berhubung ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Muhammad Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Muhammad Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu memberi dirinya dadah berbahaya ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, tarikh sama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya