Warga emas rugi RM40,000 dipukau tiga wanita - Utusan Malaysia

Warga emas rugi RM40,000 dipukau tiga wanita

NG menunjukkan dua botol air mineral dan sepaket beras yang digantikan dengan wang tunai dan barangan kemas miliknya yang dilarikan tiga individu di Taman Johor Jaya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas kerugian  kira-kira RM40,000 disyaki dipukau tiga individu tidak dikenali di sebuah pasar awam di Taman Johor Jaya, di sini 3 Jun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 68, memberitahu, ketika sedang membeli sayur, dia didatangi seorang wanita bertutur dalam dialek Kantonis bertanya di mana dia boleh membeli herba tradisional Cina.

“Ketika sedang berbual, seorang lagi wanita datang memberitahu dia kenal seorang bomoh yang boleh berikan rawatan secara percuma. Saya terus beritahu suami saya telah menderita penyakit sejak lebih 20 tahun lalu, wanita itu kemudian beritahu dia boleh hantarkan saya ke rumah bomoh tersebut,” katanya, di sini hari ini.

Ng kemudian mengikuti dua wanita berkenaan ke sebuah kenderaan dan di dalamnya  terdapat seorang lagi wanita.

“Wanita tersebut secara tiba-tiba beritahu anak saya akan ditimpa nasib malang dan minta saya berjumpa dengan bomoh tersebut untuk mendapatkan rawatan segera.

“Mereka juga meyakinkan saya untuk pulang ke rumah dan meletakkan wang serta barang kemas dalam sebuah beg kertas sebelum dibawa untuk melakukan rawatan mengusir nasib malang tersebut,” katanya.

Dia kemudian diminta oleh tiga wanita berkenaan yang berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an untuk memegang erat beg kertas tersebut ketika upacara dilakukan.

“Saya hanya menyedari telah menjadi mangsa penipuan apabila mendapati dalam beg kertas tersebut bukan wang dan barang kemas saya, tetapi hanyalah dua botol air mineral dan sepaket beras,” katanya mendakwa seperti dipukau dan menurut arahan tiga wanita tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung memberitahu, pihaknya telah membawa mangsa untuk membuat laporan polis.

“Ini bukan satu-satunya aduan berkenaan kes pukau yang saya terima di kawasan ini, kebanyakan mangsa yang membuat aduan tersebut adalah golongan warga emas.

“Ada antara mereka berjaya mengelak daripada ditipu, namun ada yang kurang bernasib baik hanya sedar ditipu selepas barangan berharga mereka dilarikan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya sambil memberitahu pihaknya telah memasang gegantung di pasar awam berkenaan bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya