KUANTAN: Perseorangan perempuan bawah 12 tahun Pahang Kejohanan Badminton Affin-100Plus Junior Elite Tour, Chong Wan Xin bukan sahaja mempamerkan aksi ‘luar biasa’ pada siri final malah melakar sejarah pemain pertama kategori itu menang emas buat negeri ini.
Pada kejohanan tersebut di Dewan Persatuan Badminton Selangor yang berakhir Jumaat lalu, Wan Xin menewaskan pemain Kedah, Lau Xin En dalam pertarungan cukup sengit tiga set sebelum menang 20-22, 21-19, 22-20.
Presiden Persatuan Badminton Pahang, Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail berkata, kemenangan Wan Xin melengkapkan sasaran Pahang memperoleh satu emas pada kejohanan tersebut.
“Cumanya pada kejohanan kali ini, sasaran emas persatuan adalah perseorangan lelaki, Marcus Hang Yug Hwei, tetapi pemain ini tewas pada saingan suku akhir.
“Sasaran pada Wan Xin pula hanya pingat perak sebab pada siri pertama
di Melaka, dia tewas kepada Siti Nuraminah Abdullah dari Selangor di separuh akhir. Pada siri kedua di Pahang, Wan Xin tewas kepada Chu Jing Xuan juga dari Selangor.
“Tapi pada edisi final, Wan Xin mengalahkan Siti Nuraminah 21-13, 21-18 pada suku akhir. Dari situ kami yakin Wan Xin akan muncul juara kejohanan ini,” katanya di sini.
Tengku Aidy berkata, pada Kejohanan Badminton Affin-100Plus Junior Elite Tour Final, lapan pemain Pahang layak ke kejohanan ini berdasarkan keputusan pusingan pertama dan kedua di Melaka serta Pahang.
Beliau berkata, selain pingat emas, Pahang turut memperoleh dua gangsa menerusi Mirza Batrisyia Aghnia Nazri (Perseorangan Perempuan Bawah 14 Tahun) dan Shahadzryl Suhaime serta Lim Sheng Xiang bagi kategori Beregu Lelaki Bawah 14 Tahun.
Ditanya sasaran Persatuan Badminton Pahang selepas kejohanan itu, Tengku Aidy berkata, beliau akan terus melonjakkan prestasi, memperkasa pembangunan badminton di negeri ini.
“Tahun depan kami sasarkan bilangan pingat yang lebih baik dari tahun ni, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN