KOTA BHARU: Jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman sedia ‘berguru’ dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi mendalami ilmu berkait pengurusan bola sepak moden hari ini.
Hasmiza atau Vida berkata, langkah itu merupakan antara salah usaha memperkukuhkan ‘ilmu’ sebelum mengambil alih Kelantan FC.
“Saya harap Baginda sudi berkongsi ilmu berkait dengan pengurusan pasukan bola sepak. Kejayaan TMJ membangunkan pasukan JDT wajar dijadikan sebagai contoh buat saya selaku orang baharu dalam bola sepak.
“Sebelum ini saya hanya penaja dan situasi itu pastinya berbeza apabila menjadi pemilik pasukan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Vida memberitahu, beliau akan ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri untuk menonton aksi final Piala FA antara JDT dengan Kuala Lumpur City.
Katanya, pada masa sama beliau akan melihat dan melawat segala fasaliti yang ada di stadium berkenaan.
“Saya kekal dengan keputusan untuk mengambil alih TRW dan segala rundingan masih lagi berjalan.
“Doakan yang terbaik buat saya dan TRW. Hal ini kerana, TRW ‘jiwa’ rakyat Kelantan,” ujarnya.-UTUSAN