Varieti nanas baharu diperkenal Ogos ini - LPNM - Utusan Malaysia

Varieti nanas baharu diperkenal Ogos ini – LPNM

SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI (dua dari kanan) mendengar penerangan tentang produk nanas pada Majlis Penutupan Bengkel Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Nanas 2030 di Hotel Trove, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memperkenalkan varieti  nanas baharu untuk dihasilkan secara besar-besaran, bulan depan.

Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, varieti baharu itu akan dihasilkan dengan sasaran untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Ketika ini persiapan sedang dilakukan sebelum varieti baharu itu diumumkan secara rasmi. Kita dalam proses menyediakan benih-benih yang diperlukan untuk variasi itu ditanam secara besar-besaran.

“Pada waktu ini, Malaysia menghasilkan 16 varieti nanas, namun hanya empat sesuai untuk pasaran eksport, iaitu nanas MD2, N36, Morris dan Josepine. Jadi selepas varieti baharu itu diperkenalkan, kita akan ada tambahan satu lagi varieti nanas yang dieksport besar-besaran,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Nanas 2030 di Hotel Trove, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah LPNM, Mohd. Khairuzamri M. Salleh.

Sheikh Umar Bagharib memberitahu, LPNM menyasarkan jualan eksport produk nanas berjumlah RM1.3 bilion pada tahun ini.

“Ketika ini, Malaysia menghasilkan antara 400,000  hingga 600,000 tan metrik nanas setiap tahun, iaitu hanya mampu membekal kira-kira 0.25 peratus permintaan produk nanas dunia.

“Sasaran kita untuk berupaya mengeluarkan sebanyak 700,000 tan metrik nanas setahun menjelang tahun 2025

“Sehubungan itu, perancangan telah dimulakan untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran nanas bukan sahaja untuk memenuhi pasaran domestik, malah menembusi lagi banyak pasaran antarabangsa,” katanya.

Antara negara utama yang mengimport produk nanas dari  Malaysia ialah Singapura, Mesir, China, Jepun, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya