UTM-BRIN perkukuh kerjasama - Utusan Malaysia

UTM-BRIN perkukuh kerjasama

MOHAMED KHALED NORDIN (tengah) menyaksikan pertukaran MoU UTM-BRIN oleh Ahmad Fauzi Ismail (dua dari kanan) dan Dr. R. Hendrian di Jakarta, Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited dalam menyokong agenda pengantarabangsaan berimpak tinggi dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Badan Riset dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN).

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, MoU ini merupakan inisiatif UTM dalam memperkasakan kerjasama akademik dan penyelidikan transnasional antara dua negara menerusi penubuhan Konsortium UTM-BRIN. 

Menurutnya, konsortium itu bertujuan untuk memudah cara aktiviti akademik dan penyelidikan menerusi operasi penyelidikan, kontrak penyelidikan, perundingan dan kerjasama latihan antara kedua-dua pihak.

“Antara inisiatif utama konsortium ini menerusi penubuhan pejabat satelit BRIN-UTM yang menumpukan penghasilan impak penyelidikan dan pembangunan bakat, khususnya dalam bidang kebitaraan kejuruteraan dan teknologi yang memberikan manfaat dalam pembangunan kedua-dua negara dan serantau.

“UTM diiktiraf dan diberikan penghormatan sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang menubuhkan pejabat satelit UTM-BRIN,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kelmarin berlangsung majlis pertukaran dokumen antara Ahmad Fauzi dengan Deputi Bidang Kebijakan Riset dan Inovasi, Dr. R. Hendrian di Jakarta yang disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Yang turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.

Pejabat satelit BRIN-UTM akan ditempatkan di dua lokasi strategik di Kampus BRIN di Jalan Gatot Subroto, Jakarta, dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik di UTM, di sini.

Kerjasama antara UTM dan BRIN bermula sejak 2016 dan telah membangunkan program perintis pengajian pascasiswazah melalui penyeliaan jarak jauh dan hingga kini 17 penyelidik kohort pertama BRIN sedang mengikuti program penyelidikan pascasiswazah di UTM, manakala kohort kedua seramai 16 penyelidik akan memulakan pengajian pada Oktober ini.

Kerjasama itu juga telah berjaya menghasilkan 11 geran kerjasama UTM-BRIN bernilai RM300,000 dengan penglibatan 15 pensyarah UTM sebagai ahli penyelidik.

Ahmad Fauzi berkata, kerjasama itu adalah tepat pada masanya dan sejajar dengan aspirasi kementerian untuk mengangkat keupayaan universiti awam serta sumber intelektual akademik negara.

“Usaha itu secara tak langsung meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi dan pembangunan bakat yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi negara dan serantau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya