SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya tersenarai buat pertama kali di kedudukan 1,201 sehingga 1,400 dalam QS World University Rankings 2024.
Naib Canselor USIM, Prof. Dato Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, penarafan QS World University Rankings ini membuktikan keberadaan USIM yang mengangkat dan memartabatkan institusi ilmu naqli dan aqli untuk berada dalam kedudukan universiti terbaik dunia.
“Ia mengangkat dan memartabatkan institusi ilmu naqli dan aqli dalam konteks membangunkan keilmuan, kesarjanaan dan kemahiran dalam bidang halal, kewangan dan perbankan Islam serta dakwah OKU setanding dengan universiti terkemuka lain di pentas antarabangsa.
“Pencapaian sulung yang membanggakan ini tentunya atas semangat berpasukan dan kerjasama sesama warga kepada pemegang taruh bagi mencapai aspirasi dan hala tuju universiti dan memperkasakan keterlihatan USIM dalam menyasarkan universiti ini sebagai universiti rujukan global pada tahun 2025,” katanya hari ini.
Tahun ini QS World University Rankings mengukur prestasi 2,963 institusi pendidikan berdasarkan lima indikator utama iaitu penemuan penyelidikan, hasil dan kebolehpasaran, pengalaman pembelajaran, jaringan global, jaringan penyelidikan antarabangsa dan pelajar antarabangsa serta kemampanan penarafan QS.-UTUSAN.