Uptown Pahlawan Walk perlu kekal di tempat asal

Uptown Pahlawan Walk perlu kekal di tempat asal

UPTOWN Pahlawan Walk di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri perlu mengekalkan lokasi Uptown Pahlawan Walk berhampiran Plaza Mahkota di sini, dan tidak wajar berpindah ke lokasi lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga beg, Faiz Iskandar Mohd. Daud, 35, berkata, sesi dialog yang diadakan masih belum memutuskan kedudukan mereka untuk terus berniaga di situ.

Menurutnya, banyak perkara tidak diberi penjelasan terutama berkaitan untung nasib peniaga yang telah bertapak sejak 14 tahun lalu.

“Daripada dialog itu nampaknya kami seluruh peniaga mungkin terpaksa berpindah ke lokasi lain tetapi ia masih belum diputuskan.

“Banyak penjelasan yang diberikan tidak berapa tepat dan membuat saya serta peniaga lain rasa keliru,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak 12 tahun lalu.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan notis arah berpindah kepada para peniaga sekitar Banda Hilir, terutama di Uptown Pahlawan Walk seperti didakwa seorang wanita melalui satu klip video berdurasi dua minit 55 saat yang tular sejak Selasa lalu.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin menegaskan, tuduhan yang dilemparkan wanita berkenaan dalam media sosial adalah tidak benar, dengan mengatakan seluruh peniaga di Uptown Pahlawan Walk yang berjumlah hampir 200 orang bakal dipindahkan secara paksa.

Tambah Faiz Iskandar, sebelum ini tempat tersebut sepi tanpa pengunjung, namun sejak kehadiran 200 peniaga di situ telah menjadikan ia kembali ceria.

Bagaimanapun, bagi pemilik Restoran Asam Pedas Selera Kampung di Plaza Mahkota, Saharuddin Mohd. Nor, 55, dia menyokong hasrat kerajaan negeri untuk memajukan lagi kawasan pelancongan di Banda Hilir.

Katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) perlu mengkaji sama ada tempat meletak kenderaan yang berjumlah lebih 3,000 petak mencukupi atau tidak.

“Tempat meletak kenderaan untuk peniaga juga harus diambil kira. Bayangkan kalau ada 1,000 peniaga di situ maka ini telah mengecilkan tempat buat pengunjung.

“Jika kerajaan negeri mensasarkan lebih tiga juta pengunjung sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, adakah jumlah 3,000 tempat meletak kenderaan mampu menampungnya,” katanya.

Shaharudin turut meminta cadangan menutup jalan selama tiga hari iaitu bermula pada pagi Jumaat dikaji semula kerana ia tidak wajar, di samping menjejaskan para pengunjung yang berjalan kaki.

“Kalau jalan ditutup pada sebelah pagi bayangkan pelancong terpaksa berjalan dalam cuaca panas dan ini sebenarnya boleh membahayakan kesihatan mereka,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya