JOHOR BAHRU: Lebih sembilan juta pengundi diingatkan supaya menggunakan akal fikiran yang rasional, bukannya mengikut emosi semasa menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman turut meminta mereka mengetepikan politik emosi dan taksub melampau dalam memilih wakil rakyat dan kerajaan di negeri masing-masing.
“Jika pilih calon atau parti berdasarkan tradisi, perasaan peribadi, persepsi dan fanatik tanpa fikirkan kebajikan, pembangunan, kestabilan mahupun kredibiliti, akhirnya apa yang ada akan kekal sama tanpa ada perubahan.
“Saat inilah masa yang paling tepat untuk kita hindari politik kasar dan memecah-belahkan. Sebaliknya, gunakan peluang untuk mencari pemimpin yang mampu mentadbir urus negeri mahupun negara dengan baik.
“Ini kerana kestabilan politik dan kekukuhan pentadbiran menjamin masa depan negara dalam meyakinkan pelabur untuk membuat pelaburan di negeri atau negara ini. Jadilah pengundi dan rakyat yang bijak supaya kita tidak menyesal untuk tempoh lima tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, Johor merupakan contoh terbaik apabila pengundi terlalu mengikut emosi sehingga menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Menurutnya, kerajaan BN di peringkat Pusat serta Johor membuktikan kecemerlangan dalam mentadbir, membangun dan menjaga kebajikan negara mahupun rakyat sejak puluhan tahun lalu.
“Namun kerana emosi, akibatnya Johor dipimpin sebuah gabungan parti yang hanya tahu mencipta persepsi tapi tak tahu mentadbir. Dua wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi Menteri Besar dalam tempoh dua tahun dan boleh dikatakan mereka gagal.
“Bukan sahaja gagal mentadbir, malah juga gagal mengekalkan kedudukan Johor pada landasan asal meliputi aspek pembangunan, perkembangan ekonomi dan pelaburan sehingga kedudukan Johor sebagai kuasa ekonomi selatan mengalami penurunan.
“Namun, keadaan sedikit berubah apabila tampuk pentadbiran negeri diambil alih Menteri Besar daripada UMNO, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang terpaksa bekerja keras memulihkan semula ekonomi Johor dalam tekanan pandemik Covid-19,” katanya sambil berharap pengundi memilih pemimpin yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. – UTUSAN