JOHOR BAHRU: UMNO Johor akan mengadakan konvensyen bagi memastikan isu-isu pembangunan dan kemajuan di negeri ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran konvensyen itu juga akan memberikan perhatian dan membincangkan perkara berkaitan kedudukan orang Melayu.
Menurutnya, konvensyen itu akan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
“Kita telah putuskan setelah selesai PRN, UMNO Johor merasakan bahawa ada keperluan untuk mengadakan konvensyen UMNO peringkat negeri yang dihadiri bersama kepimpinan peringkat akar umbi dengan wakil-wakil kita yang terdapat dalam kerajaan supaya tidak ada jurang.
“Antara perkara-perkara yang perlu kita lakukan adalah untuk terus membela kedudukan orang Melayu di negeri ini selain memastikan isu-isu pembangunan, kemajuan negeri dapat disempurnakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Ibu pejabat UMNO Johor, di sini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, konvensyen itu sangat penting untuk parti memastikan perjuangan membela orang Melayu di negeri ini berada pada landasan yang betul.
“Sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, UMNO Johor akan memastikan langkah yang diambil selepas ini mengukuhkan lagi keberkesanan parti untuk mewakili suara dan hak orang Melayu di negeri ini.
“Saya percaya Melayu di Johor mempunyai pelbagai aspirasi dan sudah tentu UMNO pada hari ini yang diteraju Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri mempunyai kuasa dan kedudukan dan kuasa untuk menjayakannya.
“Kita perlu tahu apa aspirasi itu dan perlu menilai sama ada aspirasi itu dapat diterjemahkan ataupun tidak, dan kalau kita lakukan sejauh mana kita telah mencapai sasaran sebenarnya,” katanya sambil memaklumkan tarikh konvensyen akan ditetap dalam masa terdekat. – UTUSAN