JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Singapura bermula hari ini atas undangan Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan.
Dalam lawatan tiga hari itu, baginda ditemani isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam serta para pegawai istana dan pemimpin negeri Johor.
Pasangan Diraja itu diraikan dalam majlis jamuan teh oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching.
Tunku Ismail dan isteri turut diraikan dalam jamuan makan malam oleh Dr. Vivian Balakrishnan dan isterinya, demikian menurut kenyataan Istana Bukit Pelangi, di sini hari ini.
Tunku Ismail juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Kewangan, Lawrence Wong.
Baginda dijadualkan akan melawat Kem Komando Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Sekolah Menengah Kuo Chuan Presbyterian.
Sempena lawatan tersebut, Tunku Ismail turut akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bola Sepak Johor dan Persatuan Bola Sepak Singapura yang melibatkan kerjasama dalam pembangunan bola sepak termasuk mewujudkan kejohanan tahunan antara pasukan Pilihan Johor dan Pilihan Singapura mulai tahun depan. – UTUSAN