KOTA BHARU: Seorang tukang sapu sebak selepas impian selama dua tahun untuk menikmati keenakan rasa daging korban menjadi kenyataan apabila menjadi salah seorang penerima sumbangan yang disampaikan oleh Perdana Kota Bharu, hari ini.
Zaharah Nor, 63, tanpa berselindung mengakui inilah kali pertama dia menerima sumbangan itu sejak pandemik Covid-19 menyerang seluruh negara dan dunia sebelum ini.
“Nak beli daging segar saya tidak mampu kerana ia agak mahal. Lagipun pendapatan sebagai sebagai tukang cuci di sebuah taska membuatkan saya terpaksa ‘berkira’ dalam perbelanjaan harian.
“Syukur…Alhamdulillah dengan sumbangan daging ini dapatlah saya jadikan sebagai hidangan utama untuk beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang lagi penerima, Mohd. Faizal Zaidi, 39, yang bekerja sebagai nelayan meluahkan rasa syukur menjadi salah seorang penerima.
Katanya, sumbangan itu membolehkan dia dan keluarga menikmati daging segar kerana tidak selalunya dapat berbuat.
Sementara itu, Pengurus Besar Perdana Kota Bharu, Iqmal Musli berkata, sebanyak dua ekor lembu disembelih untuk ibadah korban termasuk seekor adalah daripada kakitangan hotel.
“Selepas tiga tahun ditangguhkan akibat Covid-19, Perdana Kota Bharu mengambil peluang ini untuk mengadakan ibadah korban,” ujarnya.-UTUSAN