Tukang masak didakwa merogol, meliwat pelajar tingkatan tiga - Utusan Malaysia

Tukang masak didakwa merogol, meliwat pelajar tingkatan tiga

ZULHAZREEN SHAH ZULKUFLI dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas tujuh pertuduhan merogol, melakukan amang seksual serta seks luar tabii terhadap pelajar tingkatan tiga antara Mei dan Jun tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tujuh pertuduhan merogol, meliwat dan melakukan amang seksual terhadap pelajar tingkatan tiga antara Mei hingga Jun tahun ini.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Zulhazreen Shah Zulkufli, 22, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran makanan segera berdepan masing-masing tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 15 tahun.

Dia turut berdepan satu pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di kebun kelapa sawit di Jalan Bakri Muar kira-kira pukul 1 pagi antara Mei hingga Jun lalu.

Bagi pertuduhan rogol, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan,

Bagi kesalahan amang seksual, dia didakwa di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 pula boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, manakala bagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sebelum itu, Danial memberitahu mahkamah kesalahan tersebut tidak boleh diikat jamin, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM50,000.

Tertuduh dalam rayuan meminta mahkamah supaya mengurangkan jumlah itu dan akan mendapatkan khidmat peguam bagi prosiding seterusnya.

Hakim Abu Bakar kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

Mahkamah menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya