Tujuh spesies hidupan liar negara bakal pupus

Tujuh spesies hidupan liar negara bakal pupus

KAKITANGAN (Perhilitan) Terengganu menjalankan operasi pemindahan seekor gajah liar menggunakan bot di Tasik Kenyir, baru-baru ini.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rantaian makanan hidupan liar di hutan belantara Semenanjung dibimbangi terjejas teruk sehingga menyebabkan ekosistem tidak seimbang apabila tujuh spesies haiwan utama di negara kini berada diambang kepupusan.

Tujuh hidupan liar tersebut adalah Harimau Malaya (panthera tigris), gajah (elephas maximus), seladang (bos gaurus), kambing gurun (capricornis sumatraensis), beruang matahari (helarctos malayanus), anjing hutan (cuon alpinus) dan kucing hutan (prionailurus planiceps).

Semua hidupan liar tersebut kini diletakkan di dalam senarai merah bukan saja Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan) bahkan turut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kepupusan haiwan tersebut akan menyebabkan ekosistem negara tidak seimbang kerana kehilangan satu spesies hidupan liar akan menjejaskan rantaian makanan hidupan lain.

Selain itu, hidupan liar ini juga penting bagi tujuan penyebaran biji benih, ejen pendebungaan dan sebagai kawalan biologi.

“Kepupusan hidupan liar akan mendatangkan kerugian kepada negara kerana hidupan liar adalah merupakan khazanah negara yang berharga.

“Walaupun setakat ini belum ada anggaran kerugian dalam bentuk wang Ringgit ditanggung negara jika sesuatu spesies itu mengalami kepupusan namun ia menyebabkan kehilangan khazanah tidak ternilai,” katanya.

Jelas beliau, terdapat lima punca utama yang menyumbang kepada kepupusan hidupan liar tersebut iaitu pengecilan kawasan habitatnya melibatkan penukaran guna tanah bagi tujuan perladangan, penempatan manusia, perbandaran, akuakultur dan empangan.

Selain itu, beliau berkata, turut menyumbang kepada kepupusan adalah pembangunan guna tanah yang tidak terancang mewujudkan pulau-pulau hutan dan fragmentasi hutan membataskan pergerakan hidupan liar.

“Konflik-manusia hidupan liar yang terjadi akibat pengecilan habitat akibat pembukaan hutan dan pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar kerana terdapat permintaan tinggi di pasaran gelap samada di dalam mahu pun di luar negara.

“Terakhir, kes-kes ‘roadkill’ yang berlaku apabila hidupan liar cuba melintas jalan raya atau lebuh raya yang dibina melintasi kawasan berhutan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN