BATU GAJAH: Kapal korek biji timah warisan negara dikenali Tanjung Tualang Nombor 5 atau TT5 menjadi antara tarikan utama pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024).
Terletak di Jalan Tanjung Tualang iaitu kira-kira 30 kilometer dari Ipoh, TT5 mula beroperasi pada 1938 dengan peralatannya diimport dari England di mana pemasangan dilakukan di kawasan itu secara berperingkat selama 18 bulan.
Pengurus Amanjaya TT5, Shahrin Zainon berkata, TT5 juga digelar ‘The Floating Factory’ yang merupakan kapal korek terakhir di negeri ini.
Jelasnya, ia menjalani beberapa proses baik pulih sehingga dijadikan monumen sejarah dan tarikan pelancong.
Katanya, pelancong akan disajikan pengalaman menarik meneroka masuk ke dalam warisan akhir industri perlombongan.
“Kapal korek dengan ketinggian 50 meter ini ada empat tingkat di mana setiap tingkat mempunyai mesin digunakan dalam operasi perlombongan.
“Bagaimanapun buat masa ini pengunjung hanya dibenarkan melawat di bahagian bawah. Mereka ini akan dipandu oleh pemandu pelancong sambil diterangkan berkaitan fungsi mesin dan sejarah kapal korek,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, pihaknya menyasarkan lebih 150,000 pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke TT5 sempena TMP2024.
Beliau mengharapkan sasaran itu berjaya dicapai sebagaimana disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyasarkan kedatangan 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong asing sempena TMP2024 yang berlangsung tahun depan.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan kepada sambutan pelancong sejak TT5 dibuka pada 2017, apabila merekodkan kehadiran lebih 300,000 pengunjung bukan sahaja dalam kalangan pelancong domestik malah negara luar. – UTUSAN