Tong tidak cukup punca longgokan sampah

Tong tidak cukup punca longgokan sampah di Persiaran Bintong

FAKHRUL ANWAR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kemudahan tong sampah yang tidak mencukupi menjadi antara punca berlakunya pembuangan sehingga wujud longgokan sampah di beberapa lokasi sepanjang Persiaran Bintong di sini.

Longgokan sampah tersebut bagaimanapun tidak ditinggalkan untuk tempoh masa yang panjang memandangkan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sentiasa melakukan kutipan di kawasan berkenaan mengikut jadual.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, menerusi pemerhatian sebelum ini, terdapat sekitar 12 lokasi longgokan sampah di sepanjang laluan itu yang ditinggalkan oleh penduduk dan peniaga setempat.

“Pengurusan sampah adalah berada di bawah SWCorp dan pada saya, seharusnya kawasan ini perlu diberikan perhatian daripada sudut keperluan tong sampah memandangkan ia merupakan laluan utama dan turut menjadi lokasi tumpuan pengunjung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai keresahan penduduk sekitar kawasan Persiaran Bintong di sini berhubung isu kutipan sampah tidak teratur sehingga menyebabkan mereka berdepan pencemaran bau.

Masalah tersebut turut mencemarkan pemandangan berikutan longgokan sampah berkenaan berada di tepi laluan utama di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Fakhrul Anwar berkata, beliau akan merujuk semula permasalahan tersebut dengan SWCorp memandangkan isu tong sampah tidak mencukupi di kawasan itu pernah dibincangkan bersama sebelum ini.

“Sememangnya tong sampah yang besar merupakan satu keperluan di kawasan ini bagi memberi kemudahan buat orang ramai dan saya akan merujuk semula perkara ini dengan SWCorp,” katanya.

Tambah beliau lagi, langkah penyelesaian perlu dilaksanakan segera memandangkan longgokan sampah yang ditinggalkan itu akan mencemarkan imej negeri khususnya buat pengunjung luar.

“Jika orang luar datang lihat keadaan ini pastinya akan mencemarkan imej kita dan bagi saya, kemudahan tong sampah seharusnya mencukupi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya