KUALA LUMPUR: Tingkatan enam bakal dijenamakan semula sebagai salah satu usaha bagi memastikan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) terus menjadi pilihan untuk melanjutkan pelajaran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, penjenamaan itu termasuklah memperkenalkan kelonggaran syarat rayuan kemasukan tingkatan enam.
“Sebelum ini, semuanya melalui tawaran Kementerian Pendidikan, baru boleh masuk tingkatan enam. Tetapi ke hadapan, dalam usaha beri peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, kita meneliti kelonggaran syarat rayuan bagi kemasukan STPM.
“Kementerian Pendidikan merangka strategi bagi pemberian autonomi kepada pengetua pusat tingkatan enam untuk pengambilan pelajar sekiranya masih terdapat kekosongan.
“Jadi, pengetua boleh kenal pasti pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung, boleh gunakan kuasa untuk membuat tawaran sendiri kepada mereka,” katanya ketika hadir Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM.
Pada masa sama, katanya, Kementerian Pendidikan juga berhasrat untuk menjenamakan semula Kolej Tingkatan Enam yang menggambarkan imej baharu.
“Antaranya, menjenamakan Tingkatan Enam kepada Kolej Pra-Universiti dan istilah sistem seperti murid kepada pelajar, guru kepada pensyarah, pengetua kepada pengarah, guru penolong kanan kepada timbalan pengarah,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan juga sedang meneliti laluan khas bagi meningkatkan bilangan guru cemerlang tingkatan enam.
“Jumlah mereka hanya 0.5 peratus atau lebih kurang 60 orang setakat ini, daripada jumlah keseluruhan guru akademik.
“Jadi, dalam usaha meningkatkan kualiti profesionalisme guru akademik dalam pendidikan, Kementerian Pendidikan menyediakan laluan khas guru cemerlang ke arah meneliti semula instrumen dan rubrik bagi penilaian guru cemerlang tingkatan enam,” katanya.-UTUSAN