Tiga rakan tidak menyesal pilih STPM, peroleh PNGK 4.0 - Utusan Malaysia

Tiga rakan tidak menyesal pilih STPM, peroleh PNGK 4.0

TIGA pelajar cemerlang STPM yang mendapat semua A dalam mata pelajaran dari kiri Lim Meng Han, Amir Haziq Miswan dan Louis Low menunjukkan angka 4 selepas mengambil keputusan peperiksaan di SMK Sultan Ismail (SSI), Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga rakan membuktikan keputusan memilih untuk menyambung pelajaran dalam tingkatan enam adalah tepat apabila memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan hari ini.

Amir Haziq Miswan, Lim Meng Han dan Louis Low, yang masing-masing berusia 20 tahun merupakan rakan sekelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail (SSI), di sini dan sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama, khususnya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan itu.

Amir Haziq mengakui tidak menyesal memilih STPM yang dilihat kurang menarik jika dibandingkan dengan pengajian di peringkat diploma.

“Bagi saya, STPM memberikan banyak kelebihan kerana hanya perlu fokus terhadap subjek-subjek yang saya minat, selain tempoh pengajian yang lebih pendek jika dibandingkan dengan diploma.

“Jika memasuki peringkat diploma, mungkin akan ada banyak jurusan tambahan yang perlu diambil dan kurang sesuai dengan minat saya, disebabkan itu saya memilih STPM,” katanya yang menetap di Sungai Mas, Kota Tinggi.

Pengorbanan yang dibuat untuk berulang-alik setiap hari dari Kota Tinggi ke Johor Bahru berbaloi selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan pertolongan guru, rakan-rakan dan ibu bapa, saya dapat capai keputusan ini,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang ekonomi.

Rakannya, Louis Low memberitahu, persaingan antara rakan-rakan sekelas turut membangkitkan semangatnya untuk melakar keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM.

“Memang kami beri tumpuan penuh ketika proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Selain itu kami turut mengadakan sesi ulang kaji sama ada secara sendiri ataupun dengan rakan-rakan.

“Saya yakin usaha keras diberi lebih lagi pada minggu-minggu akhir sebelum peperiksaan bermula membantu kami mencapai kejayaan ini,” katanya yang mahu melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) dalam bidang perundangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya