KUANTAN: Tiga pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana, di sini, dengan keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 tekad mahu mengambil jurusan ekonomi jika diberikan peluang melanjutkan pelajaran ke universiti nanti.
Selain minat yang mendalam, tiga pelajar terbabit, Nashriq Ammar Suradi, 20, Mohamad Aiman Haziq Mohalis, 20, dan Efa Samira Anwar, 20 memilih jurusan terbabit kerana peluang kerjaya yang lebih luas.
Nashriq berkata, dia berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang terbabit di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ataupun Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Setakat ini saya masih belum merancang untuk memilih kerjaya apa namun saya yakin bidang ekonomi ini boleh menawarkan pasaran kerja yang banyak,” ujar anak keempat dari enam beradik pasangan juruteknik dan guru itu di sini hari ini.
Berkongsi tips kejayaannya, Nashriq menasihatkan kepada bakal calon STPM tahun ini supaya sentiasa hadir ke sekolah selain turut serta dalam setiap kelas tambahan.
“Jangan ponteng kelas dan hadirkan diri dalam setiap kelas tambahan. Guru bagi latihan juga perlu buat, insya-Allah boleh memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.
Bagi Efa Samira pula, dia berharap agar jurusan ekonomi yang dipilihnya itu dapat menjadi batu loncatan buatnya mencapai cita-cita sebagai seorang pensyarah suatu hari nanti.
“Saya ada merancang untuk melanjutkan pengajian sehingga peringkat sarjana sekali gus memperoleh doktor falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi dan mencapai cita-cita saya untuk menjadi pensyarah,” katanya.
Kata anak pasangan kontraktor dan suri rumah itu lagi, hasil penat lelahnya membuat nota dan mencari inisiatif sendiri dengan menyertai kumpulan STPM secara dalam talian selain bahan rujukan disediakan guru di sekolah pada saat akhir membuahkan hasil apabila dia memperoleh PNGK 4.0.
Bagi Aiman Haziq pula, bidang ekonomi dilihat membuka ruang buatnya untuk mencapai cita-cita sebagai seorang pendidik sekali gus merancang melanjutkan pengajian dalam jurusan terbabit di UUM.
“Saya mahu melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi. Jika bukan ekonomi saya mahu ambil jurusan Bahasa Melayu dan bercita-cita menjadi seorang pendidik,” kata anak pasangan guru dan supervisor itu.
Katanya, dia tidak menyangka boleh memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0 kerana tidak mempunyai keputusan yang baik pada semester pertama dan kedua. – UTUSAN