Tiga lelaki didenda miliki senjata api buatan sendiri tanpa lesen - Utusan Malaysia

Tiga lelaki didenda miliki senjata api buatan sendiri tanpa lesen

DUA orang lelaki antara tiga yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas kesalahan memiliki senjata api buatan sendiri tanpa lesen.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Tiga orang lelaki dijatuhkan hukuman denda selepas masing-masing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas pertuduhan memiliki senjata api buatan sendiri di daerah ini pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohammad Sakiran Zainal, 34; Heary Jaafar, 41; dan Mohd. Ramddan Mohd. Nor, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,500 ke atas Mohammad Sakiran dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Dua orang lagi tertuduh iaitu Heary dan Mohd, Ramddan, hakim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashim memohon agar hukuman setimpal dapat diberikan sebagai pengajaran.

“Mohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan dan ketenteraman awam. Antara asas pertuduhan adalah senjata dipertuduhkan itu disahkan boleh berfungsi untuk melepaskan tembakan,” katanya.

Dalam hujahannya lagi, beliau memohon mahkamah untuk mempertimbangkan risiko terhadap keselamatan orang awam sekiranya senjata tersebut disalahgunakan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Sakiran, pada 26 Jun lalu kira-kira pukul 6.30 pagi di Kampung Gemencheh Ulu, Air Mawang, Johol, telah didapati memiliki dua laras senjata iaitu senapang patah buatan sendiri dan senapang angin jenama Sharp Tiger tanpa lesen. Senapang angin berkenaan berada di belakang pintu masuk rumahnya.

Berdasarkan pertuduhan terhadap Heary pula, pada 26 Jun lalu kira-kira pukul 6.30 petang di Kampung Eyor, Air Mawang, dia telah didapati memiliki sepucuk pistol angin tertulis ‘Glock’ tanpa lesen.

Pistol angin tersebut berada di dalam satu bekas plastik warna kelabu yang diletakkan di ruang tamu rumah.

Bagi Mohd Ramddan pula, pada 27 Jun, kira-kira pukul 6 petang di Kampung Gemencheh Ulu, Air Mawang telah didapati memiliki satu laras senapang angin jenama R-Canon Super Model 737 Cal 177 tanpa lesen.

Kesemuanya didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada 28 Jun lalu, media melaporkan polis merampas pelbagai senjata api, peralatan membuat senapang angin serta peluru hidup daripada tiga orang lelaki yang ditangkap dalam serbuan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, dua hari sebelum itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya