BATU PAHAT: Punca kematian tiga orang termasuk seorang wanita warga Myanmar di Hentian Rehat Yong Peng malam tadi akibat tidur dengan pendingin hawa kereta berfungsi terlalu lama.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa berusia 23 hingga 27 dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Katanya, kereta Perodua Alza yang digunakan dipinjam daripada seorang rakan di Johor Bahru dan mereka dipercayai berhenti untuk berehat seterusnya tidur dalam kenderaan berkenaan.
“Hasil temu bual dengan beberapa saksi, kereta mangsa didapati telah diletakkan dalam tempohagak lama di Hentian Rehat Yong Peng itu.
“Mangsa didapati tidak bergerak namun enjin kereta dihidupkan, manakala tingkap tertutup rapat serta pintu dalam keadaan berkunci,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Shahrulanuar, apabila semua mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas ketika orang awam mengetuk cermin tingkap dan memanggil dari luar, mereka kemudiannya terpaksa memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu untuk membuka pintu kereta bagi memberikan bantuan.
Selepas pintu berjaya dibuka, didapati kesemua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan yang dibuat oleh pasukan perubatan selepas itu mendapati ketiga-tiga mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Kesemua mangsa adalah warga Myanmar iaitu Zaw Naing Oo, 23; Myo Htet, 25, dan Khin Mar Yee, 27. – UTUSAN