Tiada perancangan laksana semula PLKN

Tiada perancangan laksana semula PLKN

ADAM Adli (tiga dari kiri) menyerahkan sijil anugerah kepada penerima sewaktu Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis di Pusat Transformasi Bandar, Kangar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan belum mempunyai sebarang perancangan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) buat masa ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, beliau bagaimanapun tidak menafikan PLKN mempunyai kebaikan buat golongan belia di negara ini sebelum ini namun terdapat juga beberapa pelaksanaan lain dapat diguna pakai seperti program Rakan Muda yang diwujudkan sejak tahun 1994 lagi.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan telah melancarkan inisiatif nafas baharu terhadap program Rakan Muda untuk dijadikan sebagai platform yang bertujuan bagi membangunkan jati diri golongan belia di negara ini.

“Memang betul kita pernah ada PLKN yang melibatkan ramai penglibatan golongan belia dan terdapat juga kebaikan daripada program tersebut.

“Tapi kita jangan nafikan platform-platform seperti Rakan Muda yang diwujudkan sejak dari awal lagi sebagai keperluan menyediakan golongan belia untuk berdiri atas paksi mandiri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan cadangan Pemuda UMNO Bahagian Kangar agar kerajaan mewujudkan semula PLKN khusus buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi dilaporkan berkata, cadangan tersebut wajar dipertimbang memandangkan remaja masa kini seolah-olah tiada hala tuju dan hilang jati diri.

Menerusi pelancaran nafas baharu program Rakan Muda pada 25 Jun lalu, terdapat 10 inisiatif gaya hidup telah diperkenalkan meliputi Rakan Aktif, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Litar, Rakan Bumi, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, melalui penjenamaan semula program Rakan Muda, kementerian berharap semua golongan belia yang menjadi sasaran dapat disalurkan ke program atau platform diminati mereka.

“Jadi daripada situ akan ada program-program yang disediakan di bawah payung Rakan Muda khususnya untuk bangunkan jati diri golongan belia di negara ini,” katanya.

Tambahnya, terdapat sebilangan golongan belia yang tidak mengenali pemimpin pada masa kini adalah berkemungkinan disebabkan oleh maklumat diterima mereka adalah berbeza dengan zaman sebelum ini.

“Ada golongan belia yang tumpuan dan keperluannya adalah berbeza, jadi kita tak boleh pukul rata terhadap perkara ini.

“Kalau mereka (golongan belia) tak kenal pemimpin, maka pemimpin itulah sepatutnya kena kenalkan diri mereka pada golongan belia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya