Terap amalan ESG, Persada Johor jalin kerjasama dengan UNGC - Utusan Malaysia

Terap amalan ESG, Persada Johor jalin kerjasama dengan UNGC

K. RAVEN KUMAR (tengah) menyaksikan David Emir Bareng (kanan) dan Edey Suresh (kiri) menandatangani MoU antara Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan United Global Compact Malaysia & Brunei di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak syarikat menerapkan amalan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam mencegah pencemaran bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, peranan penting itu perlu dimainkan syarikat di negeri ini kerana inisiatif kerajaan bagi menjaga kelestarian alam melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

“Sekiranya semua pihak bersama-sama kerajaan negeri menjaga kelestarian alam sekitar, ia dapat meminimumkan kejadian bencana alam seperti banjir kilat, sekali gus mengurangkan kos kerja-kerja membaik pulih ekoran kerosakan yang dialami. Inisiatif ESG ini bukan sahaja disarankan kepada syarikat di Johor, malah di seluruh negara untuk menjaga kelestarian alam itu dan pencegahan perlu dibuat di peringkat awal dengan menerapkan sikap tanggungjawab menjaga alam sekitar.

“Apa yang kita lalui dahulu perlu dijadikan pengajaran seperti cuaca terlalu panas dan banjir. Sebagai contoh, kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi projek tebatan banjir, duit sebanyak itu lebih baik digunakan bagi tujuan lain demi kepentingan orang ramai.

“Pada saya pencegahan adalah lebih baik, kalau dijaga dari awal (alam sekitar) lagi senang, saya percaya semua pihak kena jalankan tanggungjawab,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persada Johor dan United Nations Global Compact (UNGC) Network Malaysia & Brunei, di sini.

MoU itu ditandatangani oleh Pengurus Besar Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, David Emir Bareng dan Pengarah  UNGC Network Malaysia & Brunei Negeri Johor, Edey Suresh.

MoU tersebut menyaksikan Persada Johor menjadi pusat konvensyen pertama di Malaysia yang menyertai UNGC.

UNGC merupakan rangkaian tempatan yang mendorong perniagaan untuk menyelaraskan operasi mereka dengan 10 prinsip yang diterima secara universal, dalam bidang hak asasi manusia, buruh, alam sekitar, dan anti-rasuah.

Dalam pada itu, David Emir berkata, penyertaan Pusat Konvensyen Persada Johor dalam UNGC melambangkan komitmen pihaknya terhadap kelestarian dan amalan perniagaan bertanggungjawab yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).

“Kami percaya dengan prinsip-prinsip kelestarian dalam amalan perniagaan, kami akan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan menyumbang terhadap kesejahteraan sosial dan ekonomi komuniti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya