KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra dan pasangan, Che Puan Mahkota Kelantan, Sofie Louise Johansson selamat menyambut kelahiran putera sulung mereka semalam.
Unit Media Pejabat Sultan Kelantan dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, Che Puan Mahkota Kelantan selamat melahirkan anak mereka Hospital Universiti Sains Malaysia Malaysia (Hospital USM).
Menurutnya, Che Puan Mahkota Kelantan bersama anakandanya berada dalam keadaan selamat dan sihat walafiat.
Ujarnya, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga kerja Hospital USM yang terlibat dan seluruh rakyat jelata yang sentiasa mendoakan kesejahteraan Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Che Puan Mahkota Kelantan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Sofie Louise bakal menimang cahaya mata sulung, Julai ini.
Perkara itu diumumkan oleh Sofie Louise menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Mac lalu.
Baginda bertitah, Tengku Muhammad Faiz dan dirinya gembira untuk mengumumkan bakal menimang putera sulung.-UTUSAN