LUMUT: Pantai perkelahan terkenal di sini, Pantai Teluk Batik yang biasanya dipenuhi pengunjung pada musim cuti didapati kurang pengunjung pada cuti umum sempena Hari Raya Aidiladha.
Tinjauan Utusan Malaysia kelmarin mendapati pengunjung di pantai perkelahan itu tidak terlalu ramai, mungkin disebakan orang ramai menyambut Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban.
Seorang pengunjung dari Kampung Acheh dekat sini, Azman Jaluddin, 47, berkata, dia datang ke pantai perkelahan itu bersama ahli keluarganya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha.
Menurutnya, dia menjangkakan pantai perkelahan itu sesak, dipenuhi pengunjung semasa cuti Aidiladha namun jangkaannya meleset.
“Biasanya pantai perkelahan ini memang penuh dengan pengunjung setiap kali musim cuti atau hujung minggu namun keadaannya berbeza pada cuti Aidiladha apabila saya lihat keadaannya lengang.
“Ini menyebabkan kami sekeluarga rasa macam tak bersemangat nak beriadah, tak nampak kemeriahan seperti hari cuti umum.
“Biasanya nak parkir kenderaan pun susah, tapi hari ini parkir agak lengang, mungkin ramai yang balik kampung menyambut hari raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang peniaga pelampung, Adid Ahmad, 20, juga mengakui hairan dengan jumlah kehadiran pengunjung di pantai itu yang tidak ramai seperti mana biasa ketika musim cuti.
“Biasanya semasa cuti, ramai orang datang di pantai ini dan ramai yang menyewa pelampung untuk mandi namun kali ini tidak ramai, setakat ini cuma 45 pelampung yang disewa.
“Keadaan ini mungkin disebabkan orang ramai berhari raya dan melaksanakan ibadah korban,” katanya.-UTUSAN